Solat dan Peranannya.

Solat dan Peranannya.

Solat berfungsi dalam mendisiplinkan perbuatan setiap orang, mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan orang Islam. . Orang mukmin yang berada dalam satu saf dalam masjid yang sama, sebanyak lima waktu sehari, siang dan malam tidak kira kaya atau pun papa, mereka berkumpul dan berjemaah di masjid atau surau untuk membuka jalan dan menaikkan semangat persaudaraan sesama orang Islam. Mereka yang kuat dan yang lemah berada dalam satu binaan yang kukuh dan teguh itu dan saling memahami setiap apa yang diperlukan dan pekerjaan antara mereka.

Selain daripada solat lima waktu sehari semalam, Allah juga mewajibkan ke atas sekalian Muslim agar melakukan solat Jumaat sekali setiap minggu. Pada hari dan ketika itulah mereka bersama-sama untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. dan pada masa yang sama juga mereka dapat berkenal-kenalan dan mendengar nasihat, peringatan tentang perpaduan daripada khutbah yang disampaikan oleh khatib yang bertugas demi memperoleh keredhaan Allah Taala.